Oleh : Siti Rokiah Abdullah / Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Jerudong 'A'
JERUDONG, Ahad, 1 Mac. - Sebagai salah satu usaha dalam meringankan beban bagi golongan yang memerlukan terutama dalam membuat persiapan di bulan Ramadan dan Syawal, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong 'A' telah mengadakan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan yang diadakan dalam satu majlis baru-baru ini.
Seramai 50 orang penerima yang bermastatutin di kawasan tadahan Kampung Jerudong telah menerima sumbangan tersebut yang terdiri daripada beras dan makanan asasi yang merupakan hasil tajaan Syarikat Raimmar Sendirian Berhad dengan kerjasama MPK Jerudong 'A'.
Majlis telah berlangsung di rumah Pemangku Ketua Kampung Jerudong 'A', Awang Mohammad Nazmi Fa'iz bin Haji Abu Bakar yang juga selaku Pengerusi Acara Majlis.
Majlis tersebut dihadiri oleh para Pengarah Syarikat, Awang Haji Abd. Rahim bin Haji Johan dan Awang Haji Ahmad bin Wahab, serta Pengarah Urusan Syarikat, Awang Hussain Ahmad Madani bin Ahmad.
Majlis ini diadakan sebagai usaha menyemarakkan amalan kebajikan dan berkongsi rezeki di bulan Ramadan yang mulia, selaras dengan tuntutan agama Islam untuk membantu anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Syarikat Raimmar Sdn. Bhd. atas keprihatinan dan sokongan yang berterusan dalam menjayakan inisiatif kebajikan ini dan juga melaksanakan tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut. Program seumpama ini diharapkan akan dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan masyarakat setempat.